Tuesday, March 6, 2012

Suku kaum Semai


Suku Kaum Semai tinggal bertaburan di kawasan Banjaran Titiwangsa, meliputi Perak Tengah, Perak Selatan dan Pahang Barat. Bancian pada tahun 1993, menunjukkan jumlah mereka telah meningkat lebih daripada 42,000 orang dan merupakan suku kaum Orang Asli yang terbesar jumlahnya. Mereka hidup bermasyarakat.Sebuah kampung biasanya terdapat diantara 60 hingga 300 penduduk yang diketuai oleh seorang Penghulu atau “Batin” yang di lantik dari golongan berpengaruh seperti pawang, bomoh dan ketua adat.

Pada suatu ketika dahulu kehidupan Kaum Semai sama seperti Orang Asli yang lain di Negara ini iaitu hidup secara nomad. Mereka berpindah dari satu tempat ke tempat lain di dalam hutan kerana mencari tempat baru untuk berladang ataupun berpindah atas sebab-sebab kematian, diganggu oleh orang luar, binatang buas dan wabak penyakit hawar. Secara tradisinya mereka hidup dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada 10 hingga 50 kelamin.

Ketua keluarga atau orang tua dalam keluarga tersebut bangun lebih awal untuk menghidupkan api bagi memanaskan badan dan memasak makanan seperti merebus ubi kayu untuk bekalan ke ladang, ke rumah menuju ke destinasi masing-masing.
Pada waktu petang sebelum senja, mereka berehat di rumah duduk berbual-bual tentang ladang, member dan sebagainya.Setengahnya membuat damak, mencuci buluh sumpit atau membuat persediaan peralatan untuk esok harinya. Walau bagaimanpun keadaan ini mungkin telah berubah mengikut peredaran masa. Kini ramai Kaum Semai yang lemah bekerja dengan kerajaan, swasta dan berniaga seperti di kedai runcit dan kraftangan.


Mereka mengamalkan ekonomi tradisional berasaskan pertanian sara diri. Padi huma, sekoi, jagung, ubi kayu, pisang, keladi dan berbagai jenis sayur-sayuran seperti labu, kacang panjang, timun, kacang bendi adalah hasil tanaman mereka. Kaum Semai mengamalkan sistem bertukar-tukar makanan, perkhidmatan dan keperluan lain secara berkongsi. Tidak ada urusan jual beli dilakukan. Sistem ekonomi cara ini akan mengeratkan lagi silaturahim dan semangat setia kawan di samping mewujudkan kemesraaan di kalangan mereka.
Memburu dan menangkap ikan merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dilakukan kaum ini. Aktiviti memburu biasa dilakukan oleh lelaki sahaja. Peralatan memburu seperti buluh sumpit, jerat, belatik dan perangkap mudah diperolehi di hutan. Antara jenis-jenis binatang yang diburu ialah monyet, kera, babi hutan, burung, biawak, tupai dan binatang kecil yang lain. Ikan adalah sumber utama protein. Ia ditangkap dengan menggunakan lukah, kail, racun akar tuba, serampang, jaring, tuar dan juga dengan tangan. Pekerjaan ini dilakukan oleh kaum lelaki dan perempuan. Hasil seperti rotan, damar, buluh, cendana dan gaharu akan dijual. Mereka pulang pada waktu tengahari atau petang.


 PERKAHWINAN SUKU SEMAI


Gambar  : Mempelai suku Semai

Kelayakan umur minima untuk berkahwin bagi lelaki adalah 21 tahun dan 18 tahun bagi perempuan. Kebiasaannya mereka akan memilih pasangannya sendiri atau pilihan keluarga. Terdapat pelbagai proses sebalum perkahwinan berlangsung iaitu:

a)    *Adat Merisik
b)    *Adat Meminang
c)    *Tanggung Nafkah
d)    *Semasa Bertunang
e)    *Hari Berkahwin
·   Keberangkatan Pengantin Lelaki Ke Rumah Pengantin Perempuan Istiadat Berarak
·         Merenjis Atau Menabur Bertih
·         Memohon Tanda
·         Upacara Bersanding
f)     *Menyembah (Menerima Nasihat)
g)    *Upacara Penyatuan


ADAT MERISIK      
Setelah kedua-dua pihak setuju untuk berkahwin, mereka akan ditemukan dalam satu pakatan sulit antara pihak lelaki dan perempuan.

ADAT MEMINANG 
Pihak lelaki akan menghantar alat adat meminang kepada pihak perempuan. Alat-alat berkenaan adalah seperti berikut:-
Sebutan adat
Alat/banyaknya
Salin tiga
Sepasang persalinan pakaian pengantin perempuan.Warna sebarangan tanpa corak.
Belanja tubuh
RM60.25
Selendang
Sehelai
Cincin perak
Sebentuk
Sirih pinang
Setepak

TANGGUNG NAFKAH      
Ketika dalam tempoh pertunangan, pihak ellaki dikenakan Tanggung Nafkah bakal pengantin perempuan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dan dipersetujui bersama iaitu wang tunai sebanyak RM15 x sebulan.Jika dalam bentuk barang, barang-barang hendaklah dihantar ke rumah pengantin perempuan.

BERTUNANG         
Pihak lelaki dikehendaki menyediakan alat-alat seperti satu set alat tidur,sepasang persalinan pakaian pengantin berwarna tanpa corak dan sepasang kasut pengantin perempuan. Pihak lelaki juga dikehendaki membuat persiapan diri dengan menyiapkan sebuah kopiah,sehelai kain selempang dada, sepasang pakaian Melayu dan sepasang kasut.

HARI BERKAHWIN
Sebelum bersanding kedua-dua pengantin dikehendaki melakukan adat-adat iaitu berinai, bergandik bagi pengantin perempuan,gunting rambut bagi pengantin lelaki, dan wajib mandi limau dan dijampi bagi mengelakkan malapetaka.
Selepas itu, kedua-dua pengantin akan dihias dengan pakaian cantik.Pengantin perempuan akan memakai pakaian salin tiga yang telah dosediakan oleh pihak lelaki.

Keberangkatan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan :
·        
 Istiadat berarak
-       Pengantin lelaki diapit oleh ibu wali dan waris-waris diarak berjalan kaki ke rumah pengantin perempuan. Jika pengantin lelaki berketurunan anak penghulu atau tok batin, dia akan dijulang hingga ke rumah pengantin perempuan. Ia diiringi muzik biola, paluan rebana,gong dan mereka berbalas pantun. Sementara itu, pengantin perempuan menunggu ketibaan pengantin lelaki di atas pelamin.

·  Merenjis atau menabur bertih
-       Setibanya pengantin lelaki di muka pintu,sebelum dibenarkan naik tangga, air direnjis di atas daun pisang dan bertih ditabur. Pengiring-pengiring dengan serentak menyebut selamat kepada pengantin lelaki sebanyak tiga kali.

·   Memohon tanda
-       Ibu Mas Wali akan memeohon Tanda sebagai kebenaran masuk ke perkarangan pelamin. Kebenaran hanya diberi setelah permohonan dibuat sebanyak tiga kali. Permohonan tersebut kadang kala dalam bentuk pantun. Ibu Wali dan rombongannya memberi tanda sebilah keris sebagai tanda bahawa yang diarak masuk itu adalah pengantin lelaki yang sebenarnya.
·     Bersanding
-       Selepas menerima tanda masuk, Mas Wali akan membuka tirai di mana pengantin perempuan sedang menunggu di atas pelamin. Pengantin lelaki yang diiringi oleh pengapit-pengapitnya dibawa duduk di sisi sebelah kanan pengantin perempuan. Istiadat menyuap Nasi Kunyit atau Nasi damai dan makan sirih disempurnakan. Upacara ini disaksikan oleh kedua-dua belah wali dan saudara mara terdekat.
-   Kedua-dua mempelai akan meneruskan persandingan di halaman rumah untuk memenuhi permintaan ramai yang belum puas menatap wajah pengantin.

MENYEMBAH (MENERIMA NASIHAT)

Kedua-dua pengantin dibawa naik ke rumah dan melakukan istiadat menyembah wali wakil,ibu bapa mertua dan waris-waris. Di sini akan berlakunya pengishtiharan adat resam nikah kahwin. Nasihat-nasihat tentang kerukunan hidup berumah tangga di lakukan oleh mereka.

 
PERAYAAN

Kaum Semai mempunyai hari perayaan sendiri seperti Hari Genggulang/ Menyambut Tahun Baru, Hari Menuai atau Menggulung dan Hari Membuka Ladang Baru.

HARI GENGGULANG
Kebiasaannya disambut oleh Suku Kaum Semai yang tinggal di kawasan Perak Tengah, Hilir Perak dan Selatan Perak pada akhir tahun iaitu akhir bulan Disember atau di awal tahun pada bulan Januari atau Februari. Ia merupakan upacara tahunan yang paling meriah dan penuh tradisi. Mengikut kepercayaan turun-temurun Suku Kaum Semai, Hari Genggulang diadakan untuk kesejahteraan dan keselamatan kampung. Namun begitu pada masa kini upacara tersebut sudah beransur berubah mengikut peredaran masa.
Perayaan dimulakan oleh pawang atau bomoh dengan mentera dan jampi, “cenagoh” untuk memanggil roh, keramat dan penunggu yang dipercayai wujud sejak zaman nenek moyang mereka. Pawang atau bomoh akan melaksanakan upacara tersebut di balei (rumah pemujaan) yang telah disediakan dalam satu kawasan khas. Balei ini dihias dengan anyaman daun serdang, mengkuang hutan, bunga-bungaan dan lain-lain. Di hadapan Balei terdapat dua buah sangkak di mana di kiri kanannya diisi dihidang dengan “jamuan hantu” yang mengandungi pulut, wajik periong (sejenis makanan seperti gulai bercampur sayur ubi, keledek, keladi, labu dan abu, pulut kuning dan telur ayam yang sedang diram dan berdarah di dalamnya). Setelah selesai upacara di balei, tok pawang akan mengikat pantang.
Kemuncak upacara adalah di mana setiap penduduk mengadakan kenduri di rumah masing-masing dan orang ramai dipelawa sama. Untuk meriahkan lagi perayaan itu, ia disambut dengan joget orang asli atau Modek dan di setengah tempat mereka menggunakan muzik pengiring. Upacara ini biasanya berlarutan hingga ke pagi hari.

MENUAI DAN MENYULUNG TAHUN
Suku Kaum Semai menyambut hari menuai padi dengan mengadakan kenduri pada hari pertama padi dituai. Hari itu merupakan hari yang paling sibuk kerana setiap orang menjalankan berbagai-bagai aktiviti seperti menangkap ikan, memburu, mengutip sayur, menuai dan menumbuk padi sebagai persediaan untuk kenduri besar.

MEMBUKA LADANG BARU
Membuat ladang merupakan tugas yang mesti dilakukan oleh Orang Asli kerana ia adalah punca pendapatan mereka. Setiap tahun mereka akan membuka ladang baru untuk mendapatkan makanan. Mengikut kepercayaan setiap hutan tebal, gunung, gaung, bukit, dan anak sungai ada keramat dan penunggu yang boleh mendapatkan bencana atau bala. Oleh itu untuk keselamatan diri dan tapak ladang, mereka akan mengadakan kenduri sebagai menjamu penunggu atau keramat di daerah itu. Kenduri ini biasanya diiringi oleh sewang diwaktu malam hingga ke siang hari.

 
KEMATIAN SUKU SEMAI


Gambar  : Kubur suku Semai

Apabila terdapat kematian di sesebuah kampung, biasanya sanak saudara jauh dan dekat akan diberitahu. Penduduk tempatan akan menziarahi dan membantu upacara pengkebumian. Ahli masyarakat akan menangguhkan semua kegiatan harian mereka kerana dikhuatiri roh simati akan marah atau menegurnya dan akibatnya orang yang terlibat akan ditimpa malang. Kebiasaannya mayat tidak kebumikan pada hari kematian dengan itu tujuan memberi peluang kepada saudara mara simati yang jauh datang memberi penghormatan terakhir.

Pada malam tersebut penduduk kampung akan berjaga di rumah simati sehingga pagi untuk mengelakkan mayat tersebut daripada diganggu oleh hantu atau dilangkah oleh kucing kerana dipercayai boleh menyebabkan mayat tersebut bangun dan mengacau. Api akan dinyalakan di sekeliling rumah untuk mengelak atau menghalau hantu yang menyebabkan kematian itu. Kanak-kanak akan ditangkalkan dengan menconteng arang di kedua-dua belah kening atau kedua-dua belah tapak kaki dan juga pada daun-daun yang dipercayai ditakuti oleh hantu.

Sebelum upacara pengkebumian, mayat tersebut akan dimandikan dan dibungkus dengan kain baru atau kain putih dan seterusnya dibungkus dengan tikar, diikat kemas-kemas supaya senang diusung. Liang lahad digali sedalam 1 meter. Mayat dimasukkan ke dalam liang lahad. Sebelum di kambus, tiga kepal tanah bercampur arang yang telah dijampi akan diletakkan di kedua-dua belah telinga dan bahagian dada untuk memutuskan hubungan si mati dengan keluarganya. Jika tidak, keluarga yang hidup akan jatuh sakit dan boleh membawa mati.
Setelah dikambus, kayu yang diukir (ala kadar) dicacak di atas kubur sebagai penanda dan diikuti dengan upacara meletakkan makanan, minuman dan rokok yang telah dinyalakan diatas kubur selama enam hari berturut-turut.
Pada hari keenam, kayu yang telah dibakar akan dialih untuk memberitahu simati bahawa dia sudah berada di alam lain. Upacara ini dilakukan dalam rumah simati. Setelah masuk hari ketujuh, keluarga serta penduduk kampung akan bergotong-royong menambak atau memadatkan tanah kubur tersebut agar tidak jerlus. Penanda sementara tadi diganti dengan batu nisan yang kekal. Sebelum meninggalkan kubur, makanan, minuman dan rokok akan dilekatkan diatas kubur berkenaan. Salah seorang ahli keluarganya akan memegang batu nisan serta memanggil nama simati seolah-olah menggerakkannya untuk menjamu makanan dan minuman, di samping berpesan bahawa perjalanannya ke alam lain adalah selamat dan memohon supaya tidak mengganggu ahli keluarga yang masih hidup.






PANTANG LARANG
Perubatan yang dijalankan oleh bomoh atau Tok Halaq secara perubatan tradisonal terbahagi kepada tiga cara:
* Jampi Serapah
* Berkebut (Berbumbun)
* Cara Bercagoh

PANTANG LARANG DARI SEGI MAKANAN
Orang yang sedang menerima rawatan dari Tok Halaq harus mengikut pantang larang yang ditentukan olehnya seperti berikut:
      i.        Dilarang memakan ikan yang mempunyai sengat (berbisa)
    ii.     Dilarang memakan rusa, siamang, ayam denak, tenggiling dan sebagainya bergantung kepada
penyakit yang dihidapi dan mengikut pantang yang dikenakan oleh Tok Bomoh.
   iii.        Dilarang memakan kunyit, cabai, keladi dan makanan yang berwarna merah.
Jika sekiranya ada pesakit yang melanggar pantang larang tersebut, ia akan memudaratkan pesakit dan akan berlaku “Tekreg” (Pecah Pantang) dan boleh membawa maut atau Tok Halaq sendiri akan ditimpa sakit yang teruk yang tidak dapat diubati.
Semasa Tok Halaq memberi rawatan, orang luar dari rumah atau kampung berkenaan melawatnya kerana ini juga akan menimbulkan tetreg juga. Semasa rawatan sedang dijalankan pesakit tidak dibenarkan menerima rawatan dari Tok Halaq yang lain selagi Tok Halaq bekenaan belum selesai.
 Kepada pesakit yang menerima rawatan tidak dibenarkan membuat kerja-kerja harian kerana dikhuatiri tersentuh benda-benda yang dikirakan pantang. Pantang-pantang tersebut termasuk:
      i.        Memasuki kain melalui kepala
    ii.        Kepala terantuk kepada sesuatu objek.
   iii.        Berdiang di bawah sinaran matahari atau api
   iv.        Mengelakan diri terkejut atau terperanjat
    v.        Mengelakan diri daripada luka berdarah
   vi.        Mengelakan diri daripada memegang benda yang boleh mengeluarkan cahaya putih. Contohnya ubi kayu, melihat cermin dan sebagainya.
Selain dari pesakit, orang lain juga dilarang melakukan kerja-kerja yang boleh memudaratkan pesakit contohnya:
      i.        Jangan bising
    ii.        Mengibas kain
   iii.        Menghebah berita yang boleh mengejutkan atau memeranjatkan.

LARANGAN SEMASA MEMBINA RUMAH BARU
a.      Kedudukan rumah dilarang menghala laluan matahari. Jika tidak mengikut peraturan tersebut penghuni rumah berkenaaan kelak akan selalu demam dan sakit.
b.      Dilarang membuat kerja-kerja memasang kerja-kerja memasang rumah di waktu senja dan pada hari-hari yang dianggap tidak baik iaitu bulan 15, 16 dan 17, dipercayai penghuni rumah berkenaan tidak tenteram dan aman.
c.      Kayu alang dan gelegar serta lain-lain pemasangan hendaklah dipotong mengikut segi rumah tersebut supaya tidak tertinggal lebihan kayu tersebut.
d.      Tiap-tiap pemasangan perabot atap, penutup gendang hendaklah dipasang pada hari yang sama.
e.      Sebelum rumah tersebut didiami, rumah tersebut ditepung tawar dahulu.
f.       Tetamu pertama yang datang secara bertandang ke rumah tersebut dari kampung/tempat lain dikehendaki bermalam di rumah tersebut, jika tidak ianya akan didenda.

PINDAH KE RUMAH BARU
Bila sesebuah keluarga pindah ke rumah baru, sedikit jamuan, upacara “bersemah” atau tepung tawar diadakan bertujuan untuk menjamu hantu-hantu atau makhluk yang halus. Jika tidak dilakukan, keluarga yang baru berpindah akan diganggu oleh hantu atau makhluk halus.

PANTANG LARANG DALAM RUMAH
a.    Tidak boleh jatuh di dalam rumah yang sedang dalam pembinaan. Kalau jatuh, ini boleh mendatangkan sial atau kurang sihat penghuni rumah tersebut.
b.    Seseorang yang akan bermalam di rumah yang baru dibina eloklah bermalam sehingga 3 malam, jika kurang boleh mendatang perkara yang tidak baik kepada tuan rumah.
c.    Setiap rumah baru mesti diadakan kenduri atau ditepung tawar. Jika tidak melakukannya mungkin mendatangkan sial kepada penghuni rumah tersebut.
d.    Tidur boleh tidur atau pindah ke rumah masih belum siap dibina sepenuhnya, kanak-kanak juga dilarang menangis di rumah tersebut. Jika berlaku keadaan itu, rumah tersebut tidak akan membawa tuah kepada penghuninya.
e.    Sebelum rumah dibina, pawang atau bomoh akan menjampi kawasan tersebut untuk menghalau hantu-hantu akan mengganggu penghuni rumah tersebut.
f.     Bila rumah siap dibina, “Tiang Seri” rumah itu mesti dijampi dahulu oleh bomoh atau pawang. Tiang atau sudut rumah akan dipangkah dengan kapur atau bedak yang telah dijampi. Kalau tidak dilakukan, hantu-hantu akan mengganggu penghuni rumah tersebut.


PANTANG SEMASA MEMBUAT LADANG BARU
Semasa menjalankan pembukaan ladang baru, beberapa larangan perlu dipatuhi:       
a.    Kerja-kerja harus dimulakan hari kelima, kerana hari lain dipercayai tidak baik dan dilarang sama sekali “yong parong” ini disebut pantang yong (parong).
b.    Setelah 3 hari memotong pokok, hari ke 4 kerja-kerja diberhentikan.Selepas direhatkan sehari iaitu hari kelima ia akan dimulakan kembali. Kaedah ini dipanggil “Pantang Jex” (Pantang Beliung).
Perkara di atas dikenakan pantang kerana untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak baik, contohnya ditimpa pokok-pokok atau luka.

Ketika penanaman dimulakan, beberapa pantang larang harus dipatuhi sehingga ke peringkat putus menuai.
a.    Dilarang mengubah atau mencabut kayu atau tanda-tanda yang dijadikan sempadan antara satu ladang dengan ladang yang lain. Jika ini dilakukan boleh mendatangkan penyakit dan ladang tersebut tidak mendatangkan hasil yang banyak.
b.    Setelah menugal tiga hari, hari keempat diberhentikan. Ianya digelar pantang Pandang Keneh (Kayu Tunggal).
c.    Pantang Keneh Neck (Kayu tunggal yang tidak baik) juga dilakukan pada hari keempat. Pantang ini diamalkan supaya ladang tersebut memberi hasil yang lumayan.

KENDURI PADI BARU
Pantang ini diamalkan untuk menunjukkan terima kasih kepada semangat padi (Ruai Bag) kerana semangat tersebut telah memberi hasil yang lumayan. Jika sekiranya ada orang luar dari kampung tersebut, orang tersebut hendaklah turut serta sehingga selesai. Jika tidak ia akan didenda dengan istiadat mengikut tok pawang dengan memohon restu dari jembalang tanah bagi memulihkan semangat padi tersebut.
a.        Memuja semangat padi supaya rezeki pada tahun-tahun yang akan datang dapat memberi penghasilan yang lumayan.
b.        Manakala denda pulih Ruai Bag, supaya ladang-ladang yang akan datang, lumayan serta boleh “Mendang Penyalut Koul” (Sampul urat dan simpul biawak) akibat kemungkaran jembalang tanah dan boleh menjadi lumpuh.

PANTANG SEMASA KELAHIRAN DAN MELAHIRKAN
a.        Anak yang telah dimandikan akan dijampi dan ditinggalkan supaya tidak disampuk atau terkena sawan dan diganggu oleh hantu.
b.        Ibu yang baru bersalin dilarang memakan binatang-binatang dan lauk-lauk yang boleh menyebabkan anaknya terkena penyakit sawan kerana si ibu menyusu bayi tersebut.
c.        Bagi bayi yang baru lahir tidak dibenarkan memuji-muji tentang kegemukan dan kecantikan.
-          Dilarang meminta untuk dipelihara oleh orang lain. Jika ini berlaku ianya mestilah ditukarkan dengan benda yang lain, supaya semangat bayi tersebut tidak hilang.
-          Dibawah rumah sentiasa dihidupkan unggun api di mana tempat ibu bersalin.Ini mengelakkan hantu akan mengacau tempat dimana daerah dan air ketuban tumpah. Ini akan mengakibatkan bayi tersebut disampuk hantu dan sakit.


PANTANG SEMASA KEMATIAN
a.        Si mati disimpan sehari di rumah.
Atas mayat diletakkan seketul bayu/benda yang berat bagi mengelakkan perutnya kembung
-          Hari seterusnya, unggun api dihidupkan untuk menyedarkan simati bahawa dia telah berada di alam lain.
b.        Hari keenam dipanggil “alik palok” (alih kayu yang bakar) yang mana roh simati tidak lagi berkeliaran.
c.        Hari ketujuh keluarga simati akan menambak dan memperkemaskan tanah kubur dan membuat kenduri.
d.        Tempat di mana simati meninggal dunia, diletakkan makanan dan minuman serta apa sahaja makanan kegemarannya sehingga hari keenam.

Semasa dalam berpantang mereka ditegah:
a.        Bersukaria (menyanyi, bersiul, bersorak-sorak, menjerit dan sebagainya).
b.        Berpakaian cantik.
c.        Semua jenis kerja ditangguh.

Berkabung menghormati simati dan rohnya oleh penduduk tempatan dan pelawat-pelawat yang ada di tempat tersebut.
a.        Barang dan alat simati-seperti pakaian, alat memburu - tidak boleh digunakan oleh orang lain kecuali harta atau pusaka peninggalan diberi dan dibahagi-bahagikan kepada kaum keluarga.
b.        Alat-alat pengebumian – seperti cangkul, parang dan sebagainya tidak boleh dibawa naik terus ke rumah. Barang-barang itu hendaklah direndam dalam air selama satu malam sebelum dibawa naik.
c.        Orang yang pergi menanam tidak boleh naik turun rumah. Ianya mesti mandi dan pakaian yang dipakai semasa pengkebumian tidak boleh dibawa naik ke rumah.
-          Keliling rumah dan di kubur dipasang api selama seminggu. Di kubur apabila api genap seminggu “dipaling” puntungnya. Tujuannya roh akan pergi terus.
Anak-anak si mati hendaklah ditangkal, ini pada yang belum dewasa. Dengan menconteng arang bertanda palang (+) di dahi dan di dada bertentang dengan jantung, di belakang tapak tangan dan di belakang tapak kaki.
d.        Pantang dan larang kepercayaan di atas adalah untuk mengelak hantu daripada mengikut balik ke rumah.

PANTANG LARANG DALAM PEMAKANAN
a.      Kebanyakan binatang-binatang hidup di darat tidak boleh dimasak atau dimakan bersama dengan binatang di air, seperti ikan dengan daging kerbau. Jika dilakukan juga boleh mendatangkan penyakit demam kuning, keguguran rambut, batuk darah, sakit paru-paru, kayap dan kudis.
b.      Sisa-sisa makanan tidak boleh dibawa oleh binatang, semut tidak boleh ditanam atau dihanyutkan ke dalam air. Sebaliknya hendaklah dikumpul dan dibakar. Jika tidak, boleh mendapat penyakit dan kembung perut(busung).
c.      Semua air yang bertakung dalam tin, botol atau tunggul kayu tidak boleh diminum dilangkah atau didekati, jika dilakukan juga boleh menyebabkan penyakit busung.
-          Buah-buahan yang mana pokoknya tumbuh dibawah kayu teras atau yang berapit serta dahan atau batang bertakung air, tidak boleh dimakan.Jika dilakukan juga boleh mendatangkan penyakit.
d.      Mengeji dan mengata kepada benda makanan seperti ikan dikatakan babi dan lain-lain. Jika dilakukan juga boleh mendatangkan penyakit seperti cirit-birit atau kembung perut(busung) yang berpanjangan.


PANTANG LARANG SEMASA BERJALAN DI DALAM HUTAN
a.      Tidak dibenarkan berjanji kerana jika sekiranya salah seorang tidak dapat pergi makna perjalanan tersebut seharusnya dibatalkan. Jika tidak yang pergi tersebut akan terkena “Serenglog”. Contohnya, kemungkinan digigit ular, ditimpa pokok, jatuh dan sebagainya.
-          Dalam perjalanan tidak dibenarkan bercakap takbur dengan binatang-binatang buas.
b.      Pantang menunjuk dan menegur sesuatu yang ganjil. Orang asli sangat takut menunjuk atau menegur kepada sesuatu yang ganjil seperti melihat gua-gua besar, pokok-pokok yang menyerupai suatu bentuk binatang dan sebagainya. Akibat daripada menegur atau menunjuk seseorang itu boleh mendapat penyakit atau menjadi cacat pada dirinya.
c.      Ketawa pada benda-benda atau perbuatan yang menggelikan hati. Orang Asli sangat takut ketawa pada binatang, perlakuan yang boleh menggelikan seperti beruk dan juga manusia yang menyerupai dirinya atau bertopengkan jenaka, juga ketawa pada kupu-kupu dan cacing. Akibatnya dari melakukan perkara tersebut boleh mendatangkan petir dan rebut yang kuat serta banjir di tempat pantang larang yang tersebut.
d.      Dilarang menyebut binatang-binatang buas semasa di dalam perjalanan seperti harimau, gajah, buaya dan lain-lain lagi. Tetapi boleh disebut dengan nama samaran yang boleh disesuaikan dengan rupa bentuk binatang tersebut umpamanya harimau digelar pak belang.


AMALAN KESIHATAN
MAKANAN
Makanan utama masyarakat Semai ialah beras dan ubi kayu. Mereka mendapat sumber protein daripada binatang buruan, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan yang didapati dari ladang dan hutan yang berhampiran. Makanan yang disajikan adalah tertakluk kepada pantang larang makanan disenaraikan.

PERUBATAN
Daripada segi perubatan, masyarakat Semai mangamalkan cara berubat sendiri apabila seseorang daripada mereka sakit sama ada dengan menggunakan akar dan daun-daun kayu atau bomoh.
Bagi sakit atau luka-luka herba digunakan secara meluas di dalam masyaraka Semai. Jenis-jenis herba yang digunakan adalah berdasarkan jenis penyakit yang dihidapi. “Slak Selendon” , “Slak Mandi Alam”, dihancurkan atau ditumbuk kemudian dipupuk di tempat yang luka dan dibalut.
Kudis Buta - Untuk mengubati, daun “gelenggang” yang telah layu pada api dan dihancurkan kemudian disapu di tempat yang berkudis.
Bisul - Ia diubati dengan membakar kulit kerang hangus, kemudian ditumbuk sampai hancur, disapu pada bisul.
Kayap - Batang Kelubi dipancung serong dan diambil getahnya. Getah itu disapu di tempat yang terkena kayap.
Kurap dan Panau - Daun gelenggang dilayu, dihancurkan atau ditumbuk kemudian dipupuk atau disapu di tempat yang ada kurap atau panau.
Panas-panas Badan - Akar lalang diambil sebanyak mana yang boleh, seelok-eloknya akar lalang yang masih muda direbus dan airnya itu diminum atau Batang Tepus dititik dan diambil sebelah dalam batang itu dan diletakkan di kepala.
Pening Kepala - Halia dipotong kemudian dicium selama lebih kurang 5 minit. Ulangi lagi selepas itu atau bawang putih dipecahkan digosok di atas kepala.
Patah dan Terseliuh - “Daun temu urat” dan “buah jarak ” dibungkus dalam daun pisang dan dipais. Daun yang telah dipias diletakkan di tempat yang patah atau terseliuh. Kemudian dibalut. Rawatan seperti ini dilakukan sehingga beberapa minggu atau bulan sehingga sembuh.
Hidung Berdarah “Broh” - Daun sirih atau “Cawi” digulung dalam bentuk kun dan disumbatkan ke dalam hidung.

PERUBATAN TRADISIONAL
Orang Asli Suku Kaum Semai mempercayai bahawa penunggu, hantu dan syaitan adalah salah satu punca seseorang itu mendapat sakit. Oleh itu bomoh atau pawang memainkan peranan penting untuk mengubat dan mengetahui penyakit-penyakit yang dihidapi dengan cara berikut:
a.    Jampi
b.    Bercadak
c.    Berkebut
d.    Sewang
e.    Gegabor
f.     Sangkak
g.    Tenghor
h.    Cekneat
i.      Ne-alin
j.      Bidan atau Bidat