Tuesday, March 6, 2012

Suku kaum Seletar


Orang seletar atau ‘sea gypsies’ merupakan kumpulan pengembara persisiran pantai dan laut yang tinggal dalam perahu, di laut, persisiran pantai dan kuala sungai. Kawasan utama penempatan mereka ialah di persisiran pantai selatan Johor dan utara Singapura.

Secara tradisinya, mereka bergantung kepada hasil laut. Keadaan ini menyebabkan mereka hidup berpindah-randah. Walaupun begitu, perubahan dalam sosio-ekonomi telah merubah cara hidup mereka. Kini, mereka tinggal dan menetap di kawasan penempatan yang lebih teratur dan tersusun di persisiran pantai selat Johor. Mereka juga menangkap ikan dengan menggunakan  peralatan moden. Ada di antara mereka yang bekerja di kilang perindustrian. Mereka mengamalkan animism dan ada di antara mereka yang menganut agama Islam.

 
PERKAHWINAN SUKU SELETAR

Orang Seletar berkahwin dalam kalangan suku kaum mereka sendiri. Waris pihak lelaki akan merisik untuk mendapatkan persetujuan pihak perempuan. Setelah itu, waris pihak lelaki akan dihantar untuk melamar. Sebagai tanda peminangan, pihak lelaki akan memberi sehelai kain batik dan pihak perempuan akan membalas dengan sehelai kain pelekat sebagai tanda setuju. Kedua-dua pihak akan menetapkan tarikh dan hantaran belanja untuk majlis perkahwinan. Menjelang hari perkahwinan perbincangan terakhir di antara kedua-dua belah pihak diadakan. Perbincangan ini dipengerusikan oleh Batin. Dalam perbincangan ini, pihak lelaki biasanya bersetuju dengan keputusan yang dibuat.

Apabila semuanya telah dipersetujui, kedua-dua pihak akan menjemput semua ahli keluarga jauh dan dekat. Adalah menjadi pantang sekiranya ada di antara mereka ahli keluarga yang tidak dijemput atau diberitahu mengenai majlis tersebut. Bantuan jiran dan ahli keluarga juga amat diperlukan bagi melancarkan majlis tersebut.Pada hari perkahwinan kedua-dua pengantin berdandandan berinai di rumah masing-masing. Mereka tidak boleh mandi laut kerana pengantin dipercayai berdarah manis. Oleh itu mereka akan dimakan hantu laut.
Kebarangkatan tiba rombongan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan akan diiringi dengan paluan gendang dan bunyi ketukan tin dan tong sebagai satu isyarat. Semasa majlis bersanding, kedua-dua mempelai akan diberi nasihat oleh salah seorang waris yang telah ditentukan. Seterusnya upacara makan berdamai diadakan. Semua tetamu diberi jamuan.

PERAYAAN

Orang Seletar tidak mempunyai hari perayaan sendiri. Mereka menyambut perayaan yang diraikan oleh masyarakat sekeliling. Selain daripada itu, mereka menganggap lawatan orang kenamaan ke perkampungan mereka sebagai perayaan tidak rasmi. Pada ketika itu semua penduduk kampung turut terlibat untuk memeriahkannya.


KEMATIAN SUKU SELETAR

Apabila berlaku kematian, semua penduduk kampong akan berkabung dan tidak dibenarkan menjalankan aktiviti seharian sebagai menghormati jenazah dan keluarganya. Jenazah akan dikebumikan segera setelah diberitahu kepada semua ahli keluarga yang terlibat. Jenazah akan diiringi ke tanah perkuburan oleh kaum lelaki sahaja sementara kaum perempuan tidak dibenarkan ke tanah perkuburan sebelum jenazah dikebumikan.

Pelita akan dipasang di atas kubur selama enam hari enam malam berurut-turut. Semua peralatan si mati akan diletak di atas kubur dan diselubungkan dengan jala. Perbuatan ini dipercayai dapat mengelakkan roh si mati daripada mengganggu keluarga dan penduduk di situ.
 
KEPERCAYAAN DAN PANTANG LARANG
Terdapat beberapa kepercayaan dan pantang larang dalam masyarakat orang Seletar iaitu :

HANTU PANTAU DAN LAUT
Dipercayai setiap pantai dijaga oleh hantu pantai dan laut pula dijaga oleh hantu laut. Oleh itu, mereka dilarang menyebut atau memanggilnya apabila berada di tempat tersebut kerana dikhuatiri akan menerima bencana seperti tangkapan ikan akan berkurangan kerana dipercayai ikan tersebut dimakan hantu. Begitu juga jika mereka hendak menebang pokok bakau, mereka hendaklah meminta kebenaran terlebih dahulu daripada hantu pantai.

CABUL MULUT
Cabul mulut merupakan larangan bagi seseorang daripada menyebut sesuatu yang tidak elok seperti adanya hantu yang menyerupai sesuatu objek. Hantu itu dipercayai akan menyampuk dan orang berkenaan akan terkena ‘dinah’.

PANTANG DI LAUT
Orang Seletar percaya bahawa laut merupakan tempat tinggal hantu dan penunggu laut. Oleh itu, semasa berada di laut, jika kita ingin melakukan sesuatu, kita perlu meminta izin daripada mereka terlebih dahulu. Hal ini kerana, sekiranya kita tidak berbuat begitu, ia dianggap telah mengotorkan tempat tersebut dan menyebabkan mereka akan Dinah.

Orang yang ‘dinah’ akan meracau tidak tentu arah. Untuk mengubati pesakit tersebut, pawing akan meminta bantuan raja mambang iaitu Mambang Tali Arus Besar dan Kecil. Mambang ini merupakan pengantara di antara pawing dan penunggu laut. Biasanya pesakit akan diubati. Proses pengubatannya bergantung kepada berat atau ringan Dinah yang ditanggung pesakit.

 
AMALAN KESIHATAN DAN PERUBATAN

Pawang atau bomoh memainkan peranan penting dalam masyarakat orang seletar. Mereka akan memberikan penawar terlebih dahulu kepada pesakit sebelum pesakit mendapatkan rawatan hospital.

No comments:

Post a Comment